jump to navigation

Rabi’ah-al-adawiyyah-basriyyah February 1, 2009

Posted by adieb in Sirah.
trackback

Bismillahirrahmanirrahim..

Kepala ini asyik memikirkan apa sirah yang mahu di bentangkan dalam perbincangan nanti..Ermm,sirah yang berkisarkan srikandi di zaman Nabi itu,hati ini tertarik dengan mendalami siapakah sebenarnya Rabi’ah Adawiyyah,rata2 antara kita hanya tahu serba sedikit mengenai beliau.Tetapi,adakah kita tahu kisah kehidupan beliau yang sebenarnya?..Ikuti kisah beliau.. 😉

Nama yang diberikan ayahnya ketika lahir hanyalah “Rabi’ah” saja, yang ertinya keempat. Ayahnya memberi nama demikian sempena dia adalah anak yang keempat dari empat adik-beradik yang kesemuanya perempuan. Di kemudian hari, namanya terkenal sebagai Rabi’ah Al-Adawiyyah yang ertinya Rabi’ah Si Penambang, kerana pernah bekerja mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu tambang untuk meneruskan pekerjaan ayahnya. Sufi besar daripada golongan wanita ini wafat pada 135 Hijrah bersamaan 752 Masihi.

Saat-saat Kelahiran

Rabi’atul Adawiyyah lahir daripada pasangan suami isteri yang sangat miskin dan tinggal di kota Basrah. Ayahnya bekerja sebagai pengangkut penumpang dengan menggunakan perahu tambang di Sungai Dajlah yang penghasilannya tidak seberapa.

Kerana kemiskinannya, sehinggakan pada malam kelahiran Rabi’ah, rumahnya bergelap kerana tidak ada sedikit minyak pun untuk menyalakan lampu.

“Pergilah minta sedikit minyak ke rumah jiran sebelah, bang!” kata ibu Rabi’ah kepada suaminya.

Ayah Rabi’ah sudah berikrar sejak dulu lagi bahawa dia tidak akan meminta-minta kepada manusia, kecuali hanya kepada Allah. Sekadar untuk menyejukkan hati isteri yang masih kesakitan, dia keluar juga dari rumahnya dan menuju ke rumah jirannya. Lalu, dia megetuk pintu dan memberi salam dengan perlahan supaya tidak didengar oleh penghuninya yang ada di dalam.

“Jiran kita sudah tidur, mereka tidak mahu membuka pintu.” kata ayah Rabi’ah kepada isterinya.

Maka tinggallah Rabi’ah yang baru lahir itu dalam kegelapan pada malam pertama kelahirannya ke dunia ini. Sementara ayahnya yang merupakan seorang qanaah, warak dan zuhud itu terus meminta kepada Tuhan dalam munajat-munajat malamnya. Ketika tidur, dia bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w.

“Janganlah engkau berasa sedih dan bimbang, kerana anak perempuan yang baru lahir itu bakal menjadi seorang wanita mulia. Di kemudian hari, ramai umatku akan mendapatkan syafaat daripadanya.” kata Rasulullah kepada ayah Rabi’ah. Kemudian baginda bersabda lagi:

“Esok, pergilah engkau kepada Amir Basrah dan tulis di atas sekeping kertas kata-kata seperti ini: “Engkau berselawat kepadaku (Nabi) seratus kali tiap-tiap malam dan empat ratus kali pada setiap malam Jumaat. Pada hari Khamis lepas, kamu tidak mematuhi peraturan itu, maka sebagai dendanya, engkau hendaklah membayar empat ratus dinar kepada pembawa surat ini.”

Bapa Rabi’ah terjaga dari tidurnya, dia yakin mimpinya itu benar, kerana dia tidur dan berada dalam keadaan yang sesuai dengan tanda-tanda bermimpi benar. Dia mengambil dakwat dan sekeping keras lalu ditulisnya surat seperti yang diarahkan oleh nabi dalam mimpinya. Esok harinya, dia terus pergi ke Basrah dan berjumpa dengan Amir Basrah untuk menyampaikan salam Rasulullah s.a.w. dan menyerahkan surat itu.

Setelah Amir membaca surat itu, dia menangis kerana apa yang dikatakan di dalamnya adalah benar, dia telah lalai pada hari Khamis lepas. Dia sangat bersyukur kepada Allah kerana dirinya mendapat perhatian daripada Nabi. Dengan perasaan gembira, Amir mengeluarkan wang peribadinya sebanyak seribu dinar dan disedekahkan kepada fakir miskin sebagai menebus kelalaiannya. Bapa Rabi’ah yang membawa surat dan bermimpi itu diberinya empat ratus dinar. Dia pulang ke rumahnya dengan gembira dan membeli keperluannya dengan wang tersebut.

Menjadi Hamba Abdi

Sejak kecil, Rabi’ah telah mengisi dadanya dengan pelajaran agama dan membaca Al-Quran daripada ayahnya. kemudian sifat-sifat zuhud, warak, qanaah ayahnya menurun pula kepada dirinya. Dia tidak lama mendapat belaian kasih sayang, kerana ayahnya meninggal dunia dan kemudian, ibunya pula menyusul ayahnya. Tinggallah kini empat adik-beradik yang kesemuanya perempuan itu dalam pondok buruk warisan ibu bapa mereka.

Kerana mereka telah menjadi yatim piatu yang miskin, maka terpaksa mencari keperluan hidup sendiri. Ketiga-tiga kakak Rabi’ah bekerja kilang kain, sedang Rabi’ah sendiri meneruskan kerja ayahnya mengayuh perahu tambang. Setiap hari, dia menghabiskan masanya mengangkut penumpang yang berulang-alik menyeberangi Sungai Dajlah.

Selepas solat Subuh, Rabi’ah sudah berangkat kerja dan baru pulang apabila hari menjelang malam dengan membawa sdikit rezeki halal yang diperolehinya dari tambang para penumpang yang diangkutnya. Maka terkenallah gadis cantik manis itu sebagai Rabi’ah Al-Adawiyyah yang ertinya Rabi’ah si Penambang.

Pada suatu malam, ketika Rabi’ah terlena kerana kepenatan, dia bermimpi melihat cahaya yang terang benderang menyinari dirinya dan kemudian lenyap masuk ke dalam dirinya. Terasa olehnya bahawa setiap anggotanya mengeluarkan sinar. Kemudian dia sedar dari tidurnya.

Suatu masa, kota Basrah dilanda musim kebuluran. Penduduk sukar untuk mendapatkan makanan, sehingga ramai di antaranya yang merantau ke tempat lain untuk mencari kerja. Ketiga-tiga kakak Rabi’ah juga pergi mencari haluan sendiri-sendiri, maka tinggallah Rabi’ah seorang diri di rumahnya sambil meneruskan kerjanya sebagai penambang.

Wajah Rabi’ah yang cantik dan menarik telah menyebabkan ramai kaum lelaki yang jatuh hati kepadanya, namun Rabi’ah menolaknya. Dia masih suka hidup sendiri dan menyara hidup sendiri tanpa bergantung kepada orang lain walaupun telah ditinggal pergi oleh kakak-kakaknya. Dia lebih tenang dan selesa berjinak-jinak dengan Khaliqnya daripada berjinak-jinak dengan makhluk.

Setelah beberapa lama menyendiri, Rabi’ah dilarikan oleh sekumpulan perompak dan kemudiannya dijual kepada seorang saudagar dengan harga enam dirham sahaja. Sejak itu, bermulalah kehidupan Rabi’ah bertukar daripada merdeka kepada menjadi seorang hamba abdi yang terikat. Maka sebagaimana biasanya, nasib seorang hamba, dia mesti mengikut arahan tuannya dengan mengerjakan bermacam-macam pekerjaan yang berat. Semua itu dilaluinya dengan tabah dan sabar.

Apabila malam tiba, Rabi’ah berdiri di hadapan Tuan Besarnya setelah seharian mengerjakan tugas daripada tuan kecilnya. Dia menghabiskan masanya setiap malam dengan mengerjakan solat, membaca Al-Quran, zikir dan munajat kepada Allah s.w.t. Begitulah yang dikerjakannya setiap malam tanpa ada sesiapa yang tahu. Sementara tuannya menyangka bahawa dia tidur lena setelah penat kerana bekerja seharian.

Pada suatu malam, tuannya cuba mengintai ke bilik Rabi’ah kerana ingin tahu apa yang dibuatnya di waktu malam. Ternyata didapatinya Rabi’ah sedang mengerjakan solat dengan khusyuknya sambil berdoa sepanjang malam, sementara keadaan kamarnya sangat terang-benderang padahal di situ tidak dipasang pelita.

“Sungguh ajaib, kalau begitu dia bukan orang biasa.” fikir tuannya.

Dia mulai merasa tidak patut memperhambakan perempuan seperti itu. Maka keesokan harinya, dia memanggil Rabi’ah dan berkata: “Wahai Rabi’ah, ada sesuatu yang akan kukatakan kepadamu.”

“Apa itu tuanku?” tanya Rabi’ah.

“Sekarang, mari bertukar-tukar.” kata tuannya.

“Maksud tuanku?”

“Engkau menjadi tuan dan aku akan menjadi khadammu. Kalau tidak, engkau akan kumerdekakan dan boleh pergi ke mana yang engkau suka.”

“Kalau begitu, saya memilih pergi dari rumah ini, dan saya ucapkan terima kasih atas budi baik tuan.”

Rabi’ah keluar dari rumah bekas tuannya untuk menentukan haluannya sendiri dengan mengembara, mendatangi majlis-majlis zikir dan belajar pelbagai ilmu agama seperti feqah, tafsir, hadith dan kerohanian daripada beberapa orang ulamak terkenal.

Sehingga akhirnya Rabi’ah menjadi seorang wanita yang alim dan ahli sufi yang terkenal, banyak dikunjungi oleh orang untuk mendengarkan syarahan-syarahannya terutama dalam masalah kerohanian. Rabi’ah banyak menghabiskan masanya untuk bertaqarrub dan tafakkur kepada Allah di samping mengajar murid-muridnya.

Keluhan Di Kala Tertidur

Pembantu Rabi’atul Adawiyyah menceritakan pengalamannya selama menjadi pelayan kepada wali wanita itu:

Kebiasaan Rabi’ah adalah bersolat sepanjang malam. Apabila telah hampir terbit fajar, dia tidur sebentar dalam keadaan duduk di tempat solatnya. Sebentar kemudian, dia bangun dan melompat dari tempat duduknya dalam keadaan takut sambil berkata: “Wahai diri! Sudah berapa lama kamu tidur? Dan sampai bila engkau hendak tidur? Aku khuatir engkau tertidur sekejap, tiba-tiba engkau tidak bangun kecuali setelah mendengar pekikan terompet hari kiamat.”

Begitulah amalan harian Rabi’ah sehingga dia wafat. Pada saat-saat ajalnya telah dekat, dia memanggilku dan berkata: “Awas! Jangan sampai ada seorang pun yang sibuk di atas kematianku. Kafankan aku dengan baju jubahku ini.”

Jubah yang dimaksudkan adalah jubah bulu yang biasa dipakainya bertahajjud di kala mata orang-orang lain sedang nyenyak tidur. Aku pun mengafankannya dengan jubah tersebut.

Kemudian aku bermimpi melihat dia memakai pakaian dari istabrak dan kain tudung yang terbuat daripada sundus berwarna hijau yang sangat cantik. Selama hidupku, aku belum pernah melihat pakaian secantik itu.

“Wahai Rabi’ah!” kataku. “Kemana jubah dan tudung bulu yang dibuat untuk kafanmu?”

“Allah telah menukarnya dengan pakaian yang cantik seperti yang engkau lihat ini. Sedangkan kain kafanku yang dulu itu telah dilipat dan dicop, kemudian dinaikkan ke syurga Iliyyin untuk kupakai pada hari kiamat nanti.”

“Semua ini adalah sebagai balasan amalmu ketika di dunia.” kataku. “Ini baru sedikit saja dari kekeramatan wali-wali Allah yang telah disediakan untuknya.”

“Wahai Rabi’ah! Berilah aku nasihat yang dapat mendekatkan diriku kepada Allah.” pintaku. “Hendaklah engkau berzikir kepada Allah banyak-banyak kerana ia akan dapat menolong dan menggembirakanmu di dalam kubur.” jawab Rabiah.

Mimpi bekas khadam Rabi’ah hanya sampai sekian itu, dia terjaga dari tidurnya.

Pencuri Tidak Boleh keluar

Di pondok buruk Rabi’ah tidak ada apa-apa benda kecuali sebuah kendi yang digunakan untuk berwudhuk, tikar untuk bersolat dan beberapa benda yang tidak berharga lainnya yang kesemuanya sudah buruk belaka. Sehingga apabila ada seorang pencuri menceroboh masuk, dia tidak menemukan apa-apa benda yang patut untuk dicuri.

Akhirnya si pencuri mengambil sehelai kain cadar Rabi’ah yang sudah buruk lalu bergerak untuk keluar. Akan tetapi alangkah terkejutnya si pencuri apabila melihat tempat laluannya masuk tadi telah tertutup.

Dia lalu melepaskan kain itu dan tiba-tiba pintu terbuka, maka kain itu dicapainya lagi untuk dibawa pergi, tapi ternyata, pintu telah tertutup semula. Setelah tujuh kali si pencuri mengambil dan melepaskan cadar, terdengarlah suara:

“Hai lelaki! Jangan kamu menyeksa dirimu seperti itu! Sudah bertahun-tahun dia mengabdikan dirinya kepadaKu. Syaitan yang jahat saja tidak berani untuk mengganggunya, engkau pula seorang pencuri, memandai-mandai untuk mencuri kainnya. Pergilah engkau dari sini! Jika seorang sahabat sedang terlena, maka Sahabatnya yang tidak pernah tidur akan menjaganya.”

Lampu Ajaib

Suatu malam Hasan Al-Basri bersama dua atau tiga orang temannya telah pergi berkunjung ke rumah Rabi’ah yang memang tidak berlampu. Terbisik di dalam hati Hasan dan teman-temannya bahawa sekiranya ada pelita, alangkah seronoknya. Tiba-tiba Rabi’ah meniup jari-jarinya dan memancarlah cahaya seperti pelita menerangi ruangan itu. Hasan dan teman-temannya sangat kagum melihat peristiwa tersebut.

Rabi’ah berkata: “Jika seseorang bertanya, bagaimana perkara ini boleh berlaku? Maka aku akan menjawab: “Ini sama saja dengan tangan nabi Musa yang mengeluarkan cahaya.” Jika orang masih berkata: “Nabi Musa adalah seorang Nabi.”

Maka aku akan menjawab kepadanya: “Barangsiapa yang mengikuti jejak langkah Nabi, maka dia akan mendapatkan sedikit daripada kenabian, sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri.”

Rabi’ah berkata lagi: “Barangsiapa yang tidak mahu menerima barangyang diperoleh secara haram, walaupun hanya sedikit, dia telah mencapai suatu darjat kenabian. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Mimpi yang benar adalah seperempat puluh daripada kenabian.”

Munajat

Munajat-munajat Rabi’ah dimulakan dengan melahirkan perasaan takut kepada Allah. Dia antaranya dia berkata: “Ya Allah, ya Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar hati yang cinta kepadaMu dengan apiMu? Apakah Engkau akan membakar lidah yang sentiasa menyebut namaMu? Apakah Engkau akan membakar hambaMu yang takut kepadaMu?”

Setelah jiwanya semakin dekat dengan Tuhan, tidak ada yang ditakutkannya dan tidak ada sebarang apa yang diharapkannya selain Tuhan, Rabi’ah berkata:

“Wahai Tuhanku! Sekiranya aku menyembah kepadaMu kerana takut pada api nerakaMu, maka bakarlah diriku ini di dalamnya. Dan jika sekiranya aku menyembahMu hanya kerana ingin masuk syurgaMu, maka haramkanlah ia buatku. Akan tetapi jika aku menyembahMu kerana rasa cintaku kepadaMu, maka anugerahkanlah untukku balasan yang besar. Izinkanlah aku melihatMu yang Maha Besar.”

Kata-kata Mutiara Rabi’ah:

1) Pencinta Allah tidak akan merasa tenang atau riang, sehingga bertenang dengan Kekasihnya.

2) Tutup kebaikan-kebaikanmu sebagaimana engkau menutup keburukan-keburukanmu.

3) Wahai Tuhan! Berikanlah neraka itu kepada musuh-musuhMu dan syurga pula, Engkau berikan kepada kekasih-kekasihMu. Sedangkan untukku, memadailah Engkau semata.

4) Hendaklah engkau menjadi seperti sepotong lilin, yang sentiasa menerangi dunia walaupun diri sendiri habis terbakar. Dan hendaklah engkau menjadi seperti sebatang jarum, yang sentiasa berbakti walaupun tidak memiliki apa-apa.

5) Ubat bagi setiap penyakit ialah berdampingan dengan Allah.

6) Suatu hari di musim bunga, ada orang mengajak Rabi’ah melihat keindahan bunga di luar pondoknya. Rabi’ah menjawab: “Duduklah di dalam rumah seperti aku ini. Aku melihat Dia dan bukan pada yang diciptaNya.”

Advertisements

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: